NEGARA / POLITIK

Ramalan dan Analisis PRU 13 – Faktor Pak Lah (Bahagian III)

praya2

“POLITIK dunia termasuk Malaysia turut dicaturi Yahudi. Tangan ghaib Yahudi lagi tersembunyi dalam pelbagai lapisan. Mahathir bukan sahaja menghemtam Soros yang dianggap sebagai penyangat mata wang dalam krisis kewangan Black September 1997, tetapi juga menyerang Yahudi keseluruhan….”

ABDULLAH Ahmad Badawi, Perdana Menteri ke-5 negara, boleh diingati apabila berbincang mengenai pilihan raya umum kerana beliau telah mencatatkan sejarah kerana telah membawa kejayaan terbilang dalam PRU-11 pada 21 Mac 2004. Kejayaan terbilang seperti ini pernah tercatat dalam PRU-4, pada 24 Ogos 1974.
Bagaimanapun, kejayaan Pak Lah hanya seketika kerana pada PRU-12, BN jatuh merudum kepada Barisan Pakatan (BP) hinggakan Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan juga dikuasai BP.
Jadual 1: Keputusan PRU-11, 21 Mac 2004

Image

Dalam Jadual 1 di atas jelas menunjukkan BN mendapat majoriti melebihi 2/3 kerana jumlah untuk majoriti 2/3 hanyalah 148, sedangkan BN memenangi sehingga 199 kerusi, hanya 20 kerusi sahaja dimenangi BP.
UMNO mencatatkan kemenangan luar biasa dengan mengalami hanya tujuh kerusi kalah ke tangan BP.  Menambah manis kemenangan itu apabila UMNO boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah kerana memenangi 110 kerusi daripada 219 kerusi yang dipertandingkan.
BP seolah-olah jatuh tidak mungkin bangun kembali kerana hanya mendapat 20 kerusi sahaja. Menambah garam diluka kekalahan apabila Keadilan hanya memenangi satu kerusi di Permatang Pauh daripada 58 kerusi parti berkenaan memasuki gelanggang.
Jadual 2: keputusan PRU11, 21 Mac 2004

Image

Pak Lah yang memimpin pilihan raya pada 2004 meyakini rakyat masih bersama BN, apa lagi sumber perisikan dan kajian pilihan raya oleh beberapa konsultan meramalkan kemenangan untuk PRU-12 masih lagi mengikut pola pengundi pada 2004.
Politik merupakan seni yang dinamik kerana mendung kepada BP tidak lama, malah bangkit kembali pada pilihan raya seterusnya, seperti tercatat dalam Jadual 3. Malah, sesetengah pemimpin BP berusaha membeli beberapa ahli Parlimen untuk merampas Putrajaya.
Jadual 3: Keputusan PRU-12, Mac 2008

Image

DAP dan PKR mencatatkan kemenangan luar biasa pada 2008 dan kepada mereka pola pengundian 2013 akan mengikut jejak 2008, khusus seperti dijelaskan dalam Bahagian II siri ini bahawa orang Cina atas pagar masih lagi mahu merotan MCA dan Gerakan.
Pak Lah dan rakan-rakan di Tingkat 5 melihat mandat totok diberikan pada 2004 kerana faktor peribadi dan kepandaian strategi pasukannya, sedangkan pada 2004 kemenangan yang besar kerana Mahathir.
Tangan ghaib Mahathir gagal dikesan oleh anak-anak muda terpelajar Tingkat 5 kerana mereka berpendapat peranan Mahathir sudah tidak relevan lagi dengan negara kerana rakyat memberikan mandat kepada Pak Lah pada 2004.
Tangan ghaib Mahathir yang kurang dihargai Pak Lah.
Secara sengaja Mahathir melakukan tiga perkara utama untuk memungkinkan kemenangan besar kepada penggantinya:
  • Pertama, Mahathir mewarnakan wajahnya seburuk-buruk agar pengundi (khususnya golongan atas pagar) yang sudah membencinya bertambah benci pada tiga tahun terakhirnya sebagai Perdana Menteri iaitu pada tahun 2000 dan 2003. Malah, sejak 2008 lagi reputasi Dr Mahathir agak buruk  apabila krisis politik dan ekonomi melanda negara. Pelbagai gelaran diberikan kepadanya seperti Mahazalim, Mahafiraun, orang tua nyanyuk dan sebagainya. Orang ramai yang marah kepada Mahathir tidak marah kepada penggantinya, sekurang-kurangnya pada waktu selepas itu.
  • Kedua, Dr Mahathir pernah menjadi Menteri Pelajaran. Dalam 20 tahun memerintah negara beliau sangat faham sensitiviti kaum Cina terhadap pelajaran yang dianggap seperti Tuhan kedua. SRJKC menjadi ‘baby’ kepada orang Cina. Ianya tidak boleh diusik.  Dr Mahathir dalam tiga tahun sebelum melepaskan jawatannya telah mula menyerang Dong Jia Zhong. Malah, disebutkan DJZ itu sebagai ekstremis.  Orang Cina juga pada hari-hari terakhir tempoh terakhir Mahathir telah memusuhi kerajaan. Apabila Pak Lah mengambil alih, berbondong-bondong sokongan kepada Pak Lah.
  • Politik dunia termasuk Malaysia turut dicaturi Yahudi.  Tangan ghaib Yahudi lagi tersembunyi dalam pelbagai lapisan. Mahathir bukan sahaja menghemtam Soros yang dianggap sebagai penyangat mata wang dalam krisis kewangan Black September 1997, tetapi juga menyerang Yahudi keseluruhan. Hishamuddin Rais telah menulis beberapa siri artikel seperti berikut. Anwar Ibrahim dan Najib Razak mengikut Hishamuddin sedang masing-masing berebut hati Yahudi (lebih tepatnya pelobi Zionis) untuk berpihak kepadanya dalam menghadapi PRU-13. Apakah tidak ada kaitan Yahudi dengan kemeruduman ekonomi Malaysia pada 1997 dan 2007?
Walaupun personaliti Pak Lah sangat dikagumi ramai hingga ada menggelarkan dirinya sebagai ‘Mr Nice Guy’ ketika mula memegang tampuk pemerintahan,  beliau tidak boleh dilihat sebagai penyumbang utama segala-galnya atas kejayaan PRU 2004, dan tidak juga boleh disalahkan sepenuhnya pada kekalahan PRU 2008, kerana kedua-dua pilihan raya itu Mahathir masih mempunyai kukunya tersendiri.
Dengan hadirnya kembali Mahathir membantu Najib untuk PRU 2013 ini, apakah matahari BN akan kembali bersinar atau mendung berterusan?

2 thoughts on “Ramalan dan Analisis PRU 13 – Faktor Pak Lah (Bahagian III)

  1. Malaysiakini- Najib akan hadiri majlis Dong Jia Zong

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menerima jemputan Dong Zong untuk menghadiri majlis rumah terbuka pertubuhan pendidik Cina itu Ahad ini.

    Perdana menteri mengesahkan kehadirannya melalui sepucuk surat yang diterima oleh Dong Zong dari Pejabat Perdana Menteri hari in, kata Timbalan Pengerusinya, Chow Siew Hon ketika dihubungi Malaysiakini.
    Menurutnya, satu sidang akhbar akan diadakan esok berhubung perkara tersebut.
    Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Wong Nai Chee turut mengesahkan bahawa Najib akan menghadiri majlis rumah terbuka Dong Zong.

    “Ya, saya baru dimaklumkan (bahawa perdana menteri akan menghadiri majlis tersebut). Saya hanya tahu petang ini,” katanya kepada Malaysiakini.
    Bagaimanapun, beliau tidak tahu sama ada perdana menteri akan membuat sebarang pengumuman mengenai permintaan Dong Zong semasa kunjungan tersebut.

    Dong Zong sebelum ini telah menyatakan hasrat mereka agar kerajaan mengiktiraf United Examaniation Certificate (UEC) dan meluluskan empat sekolah cina persendirian yang baru.

    Sementara itu, akhbar the Malay Mail melaporkan hari ini bahawa Dong Zong atau Jawatankuasa Persatuan Sekolah Cina Malaysia berkata, perdana menteri bersetuju menghadiri majlis tersebut bertempat di Pusat Pembelajaran Tingginya di Jalan Bukit, Kajang.

    Menurut akhbar itu, kira-kira 3,000 tetamu, termasuk Pesuruhjaya Tinggi Singapura, serta duta dan kumpulan pendidikan dari China dan Taiwan dijangka menghadiri majlis rumah terbuka tersebut, tambahnya.

    The Malay Mail memetik Pengerusi Dong Zong, Dr Yap Sin Tian
    berkata ia akan menjadi satu peristiwa yang bersejarah kerana Najib merupakan perdana menteri pertama dalam tempoh 50 tahun, menghadiri majlis Dong Zong dan ini akan menjadi isyarat yang baik ke arah memupuk hubungan yang lebih baik antara kerajaan dan masyarakat Cina.

    “Kehadiran Perdana Menteri akan melambangkan pentingnya masyarakat Cina dan kedudukan (Najib) dalam masyarakat tersebut,” katanya.

    Menurut Dr Yap lagi, Dong Zong telah ditubuhkan selama 58 tahun dan ini adalah kali pertama huluran tangannya disambut oleh seorang perdana menteri sebagai pemimpin tertinggi negara ini.

  2. ANALISIS AGAK LOGIK

    OLEH TAN SRI MICHEAL TEOH, ASLI

    ULASAN Pilihan raya umum ke-13 akan menjadi pilihan raya yang amat dinanti-nantikan, paling menarik dan mendebarkan dalam sejarah negara.
        
    Spekulasi berhubung tarikh pilihan raya menjadi teka-teki selama hampir setahun. Pilihan bagi tarikh mengadakan pilihan raya semakin pendek. Dijangkakan PRU-13 akan diadakan pada 14 atau 21 April 2013.
        
    Terdapat tiga kemungkinan keputusan pada pilihan raya akan datang:
        
    Senario 1 : Status quo semasa kekal
        
    Senario 2 : Majoriti yang berkurangan bagi BN
        
    Senario 3 : BN memperoleh semula majoriti dua pertiga.
        
    Terdapat 222 kerusi parlimen di negara ini dan daripada jumlah itu, kira-kira 150 adalah kerusi Melayu/Bumiputera, 30 kerusi campuran dan 42 kerusi majoriti Cina.
        
    Dalam pilihan raya 2004, BN memenangi 140 kerusi dan Pembangkang
    pula menang 82 kerusi. Huraian selanjutnya menunjukkan Umno memenangi 79 kerusi, MCA 15 kerusi, MIC 3 dan Gerakan 2, PKR 31, DAP 28 dan PAS 23 kerusi.
        
    Daripada analisis kami, semakin jelas bahawa sebahagian besar penduduk luar bandar telahpun beralih semula kepada BN, khususnya kaum Melayu luar bandar yang sebahagian besarnya kembali semula ke pangkuan Umno.
        
    Dalam hubungan ini, Umno dijangka memenangi lebih banyak kerusi berbanding pada 2008. Umno berkemungkinan menang 85 hingga 90 kerusi parlimen, iaitu satu peningkatan berbanding 79 kerusi sedia ada. Turut menjadi trend yang jelas ialah pengundi India di kawasan luar bandar dan separa bandar beralih semula  kepada BN. Bagaimanapun, sebahagian besar pengundi bandar masih bersama Pembangkang.

    Sungguhpun pengundi Melayu di bandar mungkin menyokong Pakatan dan malah jika lebih ramai kaum Melayu di bandar menyokong
    Pakatan bagi kerusi bandar, ini tidak akan meningkatkan jumlah kerusi bagi Pakatan memandangkan kerusi bandar terbabit telahpun dimenangi DAP.

    Bagaimanapun pengundi bandar masih tetap menyokong Pembangkang. Masyarakat Cina bandar menyokong kuat DAP.
        
    Kira-kira 85 peratus masyarakat Cina bandar mungkin mengundi DAP. Ini akan meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi DAP kepada 35-40 kerusi, meningkat daripada 28 kerusi yang dimenangi DAP pada 2008, menjadikan DAP parti pembangkang terbesar dalam Pakatan.
        
    Harapan perdana menteri ialah pelbagai program mendekati rakyat yang beliau laksanakan terhadap kaum Cina akan mendapat tempat dalam kalangan pengundi Cina atas pagar namun ia masih merupakan cabaran yang besar. Sebahagian besar masyarakat Cina nampaknya telahpun membuat keputusan mereka.

    Sesetengah kaum Cina yang telahpun berusia dan kalangan ahli perniagaan Cina mungkin mahu memberi peluang kepada Datuk Seri
    Najib Tun Razak. Mereka menghargai keamanan, kestabilan serta kemakmuran dan menyukai cara Datuk Seri Najib mendampingi rakyat, misalnya kehadiran beliau pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dong Zong.
        
    Dalam rundingan meja bulat dan kajian yang dijalankan baru-baru ini berhubung perkara yang menjadi kebimbangan kaum Cina anjuran Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli), isu utama yang dikenal pasti sebagai membimbangkan kaum Cina adalah jenayah dan rasuah, pendidikan, kos sara hidup, keadilan dan kesaksamaan, isu kebudayaan dan agama, kekurangan penyertaan dalam perkhidmatan awam dan kurang meritokrasi.
        
    Ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pengundi Cina.
        
    Bagaimanapun jika sokongan semula pengundi Melayu dan India kepada Umno/BN adalah kuat, ini akan membantu MCA dan Gerakan dalam mengalih undi Melayu dan India kepada calon MCA dan Gerakan bagi kerusi campuran di mana pengundi Melayu terdiri daripada lebih 40 peratus dan pengundi India adalah antara 10-15 peratus di kawasan pilihan raya, misalnya Padang Serai dan Gopeng.
        
    Ramai pengundi atas pagar mengharapkan untuk melihat siapakah calon yang diketengahkan oleh parti dan cara kempen dijalankan. Sebarang kesilapan akan membawa padah semasa tempoh berkempen.
        
    Kempen boleh menjadi kotor apabila banyak serangan peribadi dan tuduhan yang dilontar kedua-dua pihak. Kejutan juga boleh berlaku semasa berkempen.

    Datuk Seri Najib akan berkempen dari landasan yang kukuh. Populariti, personaliti dan kerja kuat serta ketabahannya akan memberi beliau banyak sokongan. Apa yang nyata, beliau lebih popular daripada partinya.
        
    Rekod pencapaian Najib yang dibuktikan menerusi program transformasi dan pencapaian ekonomi dengan mencatat pertumbuhan 6.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada suku keempat 2012 meletakkan beliau dan kerajaan BN dalam kedudukan yang baik.
        
    Sebaliknya, terdapat perasaan tidak puas hati dalam kalangan
    pengundi bandar berhubung penyalahgunaan kuasa, pencabulan hak asasi manusia dan rasuah.
        
    Di Sarawak, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan memberi kemenangan 100 peratus kerusi PBB yang dipimpinnya kepada BN dan seterusnya menjamin kemenangan majoriti di Sarawak. Bagaimanapun PRS dan SPDP mungkin kehilangan beberapa kerusi Dayak kepada PKR.
        
    SUPP akan berdepan cabaran getir daripada DAP dan mungkin kehilangan semua kerusi majoriti Cina kepada DAP tetapi memenangi semula Sibu dengan calon baharu yang lebih kuat serta mengekalkan kerusi majoriti Dayak yang disandang Timbalan Presidennya Datuk Richard Riot, sekali gus memenangi dua daripada enam kerusi Parlimen.
        
    Di Sabah, Umno Sabah mampu melakar pencapaian yang baik dan memimpin BN untuk menguasai semula pentadbiran kerajaan negeri. DAP akan menang beberapa lagi kerusi majoriti Cina.
        
    Di Semenanjung Malaysia, kerusi MCA yang akan menjadi rebutan hebat ialah Gelang Patah, Kulai dan Tajung Piai di Johor dan Lumut di Perak. Kawasan-kawasan ini boleh ditembusi.  
        
    Sebaliknya, MCA mempunyai peluang cerah memenangi kembali Padang Serai, Gopeng dan Selayang jika sokongan kuat Melayu dan India kembali ke BN.    
        
    Di pertandingan peringkat negeri, Pakatan seharusnya kekal menguasai Kelantan dan Pulau Pinang tetapi menghadapi cabaran kuat daripada BN.  
        
    Di Pulau Pinang, jika undi Melayu kukuh, Umno mungkin memenangi 17 kerusi Melayu dan jika MCA dan Gerakan boleh memenangi empat kerusi saja lagi, BN akan menang tipis dan menguasai semula Pulau Pinang.  
        
    Persaingan di Selangor paling sengit dan 50:50 bagi salah satu pihak untuk menang. BN seharusnya memenangi Kedah dan Perak dengan sokongan Melayu berbalik kepada Umno.
        
    Ini dapat membantu Umno menguasai kembali kerusi negeri daripada tangan PKR dan PAS di Perak walaupun DAP berkemungkinan terus mengekalkan semua kerusi majoriti Cina di negeri itu.  
        
    Dalam perhitungan terakhir, BN akan memenangi Pilihan Raya Umum
    ke-13. Apa yang tidak pasti hanyalah jumlah majoriti.   
        
    Daripada analisis kami, BN dijangka memenangi antara 123 dan 135 kerusi. Ini keputusan yang paling mungkin.
        
    Namun, jika sokongan semula Melayu dan India kepada BN begitu kukuh dan Najib dapat menarik kembali lebih banyak pengundi Cina atas pagar, BN boleh memenangi hingga 150 kerusi, yang akan mengembalikan majoriti dua pertiga BN.
        
    Keputusan ini merupakan cabaran berat.  
        
    Senario ketiga ialah BN mengekalkan jumlah kerusi yang kira-kira sama sekitar 140, yang dimenanginya pada 2008.   
        
    Apapun, yang agak pasti ialah dua pemenang besar dalam pilihan raya umum kali ini ialah Umno dan DAP.
        
    Satu lagi yang penting untuk diambil kira ialah bentuk kerajaan pasca PRU-13.
     
    Apakah akan wujud penjajaran politik baharu? Apakah Umno akan berusaha mengadakan gabungan baru dengan PAS demi perpaduan Melayu dan Islam dan bagaimana ini akan memberi impak kepada bukan Melayu dan bukan Islam?.  
        
    Apakah dua pemenang besar pilihan raya ini, Umno dan DAP akan mengusahakan penjajaran politik baharu?.
        
    Tidak ada yang tidak mungkin selepas Pilihan Raya Umum.
        
    Memang, tidak ada teman atau musuh yang kekal dalam politik.
        
    Inilah bentuk senario pasca pilihan raya yang perlu turut diambil kira.

    TAN SRI MICHAEL YEOH ONN KHENG adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) & Timbalan Pengerusi Pusat bagi Kajian Dasar Awam (CPPS).  
        
    – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s